Kerajaan Berusaha Sekat Vape Di kalangan Pelajar Sekolah

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyekat penggunaan peranti vape secara besar-besaran dalam kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata kewujudan peranti vape yang dibuat dalam pelbagai rupa bentuk seperti jam tangan dan pen dilihat semakin menarik perhatian golongan pelajar sekolah.

“Kita juga dengan Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengambil tindakan kepada murid-murid yang membawa peranti vape ke sekolah.

“Bila mereka (KKM) mendapati murid ada alat tersebut, mereka akan menyita peranti itu. Kita juga faham peranti vape sekarang begitu canggih dan ada yang seperti jam tangan dan pen.

“Ibu bapa juga perlu beri perhatian pada anak-anak mereka, kadang kala mereka kata beli jam tangan tetapi ianya peranti vape,” katanya lagi.

Dr. Lee berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ipoh pada Sabtu.

Menurut Dr. Lee lagi, pihaknya juga telah mengadakan sesi dialog dengan industri vape berhubung larangan penjualan peranti vape di kalangan pelajar sekolah.

“Antara langkah yang diambil oleh industri ialah jam tangan itu telah dikeluarkan daripada pasaran sekarang, kalau ada orang nak beli dia akan kata “out of stock” bukan kerana demand (permintaan) tinggi.

“Tapi disebabkan pengilang telah diarah secara sukarela untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Dr. Lee berkata pihaknya masih mengkaji mekanisme bagaimana gula-gula berasap atau Ghost Smoke boleh mengeluarkan asap.

Bagaimanapun hasil kajian awal mendapati tiada bahan berbahaya di dalam kandungan Ghost Smoke yang dijual di pasaran.

Katanya lagi, Ghost Smoke itu tidak digalakkan kepada kanak-kanak kerana menyerupai merokok.