Siti Aishah Akan Dilantik Penasihat Menteri Besar

Reading Time: < 1 minute

SUNGAI SIPUT: Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail akan dilantik Penasihat kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, pelantikan Aisyah yang juga bertaraf Exco merupakan keputusan yang dipersetujui bersama dengan barisan kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Perak. Menurut beliau, Aisyah akan diberi tugas mendekati golongan belia di negeri ini selain mengadakan pelbagai program melibatkan golongan belia yang mempunyai prospek begitu besar.

“Perlantikan akan berkuatkuasa sedikit masa lagi, saya akan keluarkan surat perlantikan kepada Aisyah supaya beliau boleh memberikan perkhidmatan lebih kepada negeri ini.

“Aisyah adalah seorang pemimpin muda jadi pastinya boleh memberikan idea dan berperanan besar untuk membantu ahli majlis kerajaan Negeri Perak dan Exco Kerajaan negeri, Howard Lee Chuan Chow mendekati golongan belia di Perak kelak,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita di majlis rumah terbuka anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak bahagian Sungai Siput pada Khamis.

Ditanya sama ada Siti Aisyah menerima pelantikan itu, Faizal berkata, hasil perbincangan bersama, Aisyah menyatakan kesudian dan menghargai tawaran tersebut.

“Pada mula lagi kita berhasrat meletakkan Aisyah di satu tahap yang berpengaruh namun daripada kesepakatan Pakatan Harapan telah memutuskan malah beliau seorang pemimpin muda jadi banyak lagi masa untuk terus bergiat aktif.

“Masa depan beliau juga amat cerah dan saya percaya satu hari kepimpinan beliau akan lebih penting dalam kerajaan,” katanya.

Mengulas tindakan Siti Aishah Shaik Ismail yang menarik diri sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas dicalonkan oleh PKR kerana DAP bertegas mahukan jawatan itu baru-baru ini telah membuktikan Aishah seorang yang bijak serta taat kepada parti apabila menerima keputusan itu secara terbuka.