Najib Hadapi Empat Pertuduhan

Reading Time: 2 minutes

Peguam Datuk Seri Najib, Tan Sri Shafee Abdullah memohon budibicara hakim menerima pendahuluan wang jaminan sebanyak RM500,000 hari ini dan baki setengah juta lagi akan dibayar pada Isnin sebelum pukul 3 petang.

Pasport Datuk Seri Najib juga diserahkan kepada mahkamah. Hakim Sophian dan Tommy Thomas tidak menunjukkan isyarat bantahan.

Pada mulanya, mahkamah memerintahkan pihak Datuk Seri Najib membayar sebanyak RM4 juta iaitu 1 juta untuk setiap pertuduhan tetapi dibantah oleh Shafee dengan menyatakan jumlah itu terlalu besar, tujuan jaminan bukan untuk menghukum tertuduh.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan. Tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatan berhubung dana RM42 juta syarikat SRC International Sdn Bhd (anak syarikat 1MDB).

Najib kelihatan hadir di mahkamah dengan pakaian kot dan tali leher setelah ditahan oleh SPRM petang semalam.

Najib diwakili 7 peguambela iaitu Tan Sri Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan, Muhamad Farhan Muhamad Shafee dan Syahirah Hanapiah. Pasukan pendakwaan pula terdiri dari 12 peguam iaitu Tommy Thomas, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Shuhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Seramai puluhan penyokong Datuk Seri Najib hadir menunjukkan solidariti dengan membawa plakad tertulis Respect Civil Rights dan hashtag FreeNajib dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Mereka menyanyi beramai-ramai “Allah selamatkan Najib Razak”. Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor tidak kelihatan di sekitar mahkamah pagi ini.

Pihak berkuasa dilihat menghadkan beberapa pemimpin UMNO dari memasuki perkarangan mahkamah.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Najib bakal berdepan hukuman penjara maksima 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan.

Untuk tuduhan pecah amanah, jika disabitkan kesalahan Najib boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan kemungkinan dikenakan denda. Bagaimanapun hukuman sebat hanya dijatuhkan kepada individu di bawah umur 50 tahun. Najib sudah berusia 64 tahun.