Sultan Nazrin berangkat rasmi Ibu Pejabat Bomba Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak di Meru di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.

Yang turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Terdahulu, Zuraida dalam ucapannya berkata bangunan itu mula dibina pada 12 Sept 2011 di atas tanah seluas 3.85 hektar dan berjaya disiapkan pada 25 April 2016 dengan kos keseluruhan RM17.5 juta.

Selain dilengkapi blok pentadbiran, bangunan ibu pejabat itu turut mempunyai dewan serbaguna, stor logistik, pondok pengawal, rumah sampah, rumah pam dan tempat letak kereta.

Menurut Zuraida, kelengkapan moden dan teknologi canggih serta persekitaran yang kondusif di bangunan itu dapat menyuntik kreativiti, inovasi serta budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan pegawai serta anggota.

Pada sidang media kemudiannya, Zuraida berkata, bangunan itu adalah bangunan kategori A dengan kekuatan kira-kira 200 pegawai dan anggota.

Bangunan atau balai bomba Kategori A dibina di kawasan yang mempunyai risiko indeks kebakaran tinggi seperti di Kuala Lumpur.

Selain itu, 14 balai bomba kategori E iaitu yang menempatkan pegawai bomba bantuan, bomba sukarela di kawasan pedalaman serta terpencil akan dibina di seluruh negara tahun hadapan dengan 10 daripadanya di Semenanjung Malaysia, manakala masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.

— BERNAMA