IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menaruh keyakinan penuh bahawa Datuk Bandar Ipoh yang baharu, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim mampu mengulangi penarafan lima bintang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagaimana yang pernah diperolehi pada tahun 2016.
Katanya, keyakinan ini bersandarkan kepimpinan Datuk Ahmad Suaidi yang beliau lihat tidak berdepan masalah untuk mendapatkan penarafan lima bintang itu.
“Saya yakin dengan kepimpinan Datuk Ahmad Suaidi dan saya yakin tidak susah untuk dapatkan penarafan berkenaan sekali lagi,’’ katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sebagai Datuk Bandar Ipoh dan pelantikan Borhan Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Taiping di pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Sementara itu Datuk Ahmad Suaidi berkata, beliau berazam untuk meneruskan agenda pembangunan dan reformasi Majlis Bandaraya Ipoh
“Saya akan teruskan agenda pembangunan dan reformasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI),’’ katanya.
Menurut beliau, selain Ipoh Bersih Hijau dan Membangun, agenda lain yang akan diteruskan termasuk menambah baik sistem perbandaran di sekitar bandaraya Ipoh.
Sehubungan itu beliau akan bermesyuarat bersama pegawai-pegawai MBI berhubung perancangan jangka panjang yang bakal dilaksanakan nanti.
“Hari ini hari pertama saya masuk pejabat… Esok saya akan berjumpa Ahli-Ahli Majlis untuk dapatkan maklum balas perkara-perkara yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kemudian saya akan bermesyuarat dengan pegawai-pegawai saya untuk buat perancangan jangka panjang,” katanya dan menambah secara umumnya adalah untuk meneruskan agenda pembangunan dan reformasi MBI.
“Agenda yang berteraskan sustainable development sebagaimana Ipoh yang kita tahu sedang menuju ke arah Bersih, Hijau dan Maju,’’ katanya.
Menurut Ahmad Suaidi, beliau juga akan meneruskan agenda agenda pembangunan sistem perbandaran ke arah bandar pintar (smart city).