Sultan Nazrin Titahkan Jangan Ada Individu Mahu Jadi `Jaguh’ Ungkit Perkara Asas Dalam Perlembagaan Negara

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Benar seperti kata kiasan Melayu…`sudah terang lagi bersuluh’ meskipun berlaku perubahan kerajaan namun kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan dan tidak akan dikompromi.

Justeru itu, Sultan Perak Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda pada pembukaan rasmi Persidangan Dewan Negeri Perak ke 14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin juga menitahkan kerajaan baharu melaksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti. Baginda bertitah, majoriti pengundi telah berani mengambil risiko melakukan anjakan minda untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlakunya perubahan yang membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara.

“PRU 14 telah 88 hari berlalu, semasa berkempen, pelbagai janji diumumkan. Era berkempen telah berakhir, penuhilah harapan rakyat, amanah rakyat secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti.

“Kerajaan yang telah Beta beri perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan rakyat hendaklah mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan.

“Jangan sekali-kali melakukan rasuah, salahguna kuasa, menggunakan jawatan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan.

Sultan Nazrin turut menekan soal integriti dan ketelusan yang akan dijadikan budaya kerajaan baginda.

“Kerajaan Beta bertekad untuk melaksanakan budaya integriti dan ketelusan di semua peringkat, merangkumi badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sehubungan itu baginda mengingatkan GLC negeri tentang aspek akauntabiliti, pentingnya memberi perhatian serius di dalam pengurusan risiko sebelum melibatkan sesuatu pelaburan modal, demi melindungi kerajaan daripada terperangkap dan terpaksa menanggung beban kewangan disebabkan kesilapan pengurusan.

Sultan Nazrin juga menyentuh struktur Mahkamah Syariah dalam titah baginda yang mana pada masa ini memberikan hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

Demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, baginda menitahkan, agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri Perak.

“Satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentang untuk diluluskan Dewan Negeri Perak dalam mesyuarat ketiga Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak ke 14,” titah baginda.