MB Perak Nafi Terlibat Acara Seksi

Reading Time: < 1 minute

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu hari ini mengelkuarkan kenyataan menafikan terlibat dalam video tular sebuah acara makan malam yang melibatkan persembahan wanita berpakaian seksi di rangkaian media sosial.

Dalam klip video berdurasi lebih seminit itu, seorang penyanyi wanita kelihatan tampil membuat persembahan tarian dan nyanyian dengan berpakaian seksi.

Skrin latar belakang pentas memaparkan teks “Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak. Malam Amal Ratu Kebudayaan Yang ke-14 Tahun 2018. Ratu Kebaya, Ratu Sari, Ratu Cheongsam.”

Turut dipaparkan pada skrin besar dalam video tersebut adalah: “Ribuan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu terhormat YB M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) dan YAB Ahmad Faizal Azumu (Menteri Besar Perak).

Pihak penganjur juga didapati telah menggunakan logo Jata Negeri Perak, logo Visit Perak 2017 dan logo Tourism Perak pada skrin latar majlis tersebut.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Faizal telah mengarahkan pihak berkaitan menyiasat perkara tersebut dan maklumat yang diperolehi menunjukkan tiada sebarang tajaan atau kehadiran mana-mana wakil pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri dengan majlis terbabit.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam acara ini dan memandang serius perkara ini kerana ia memberi imej yang buruk kepada institusi Menteri Besar Perak dan kerajaan Perak.

Susulan daripada itu, beliau mengarahkan supaya mana-mana pihak yang ingin menggunakan imej beliau atas kapasiti sebagai Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen supaya merujuk kepada Pejabat Menteri Besar terlebih dahulu.