100 Penduduk Kampung Bantah Perlombongan Emas Haram

Reading Time: < 1 minute

KAMPAR: Kerajaan negeri yang sering melaung-laungkan usaha untuk memelihara alam sekitar daripada sebarang bentuk pencemaran termasuk aktiviti perlombongan haram nampaknya tidak pernah diambil peduli oleh segolongan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi mereka keuntungan lebih diutamakan tanpa mengambil kira kepentingan keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar di kawasan yang terjejas akibat aktiviti perlombongan haram itu.

Semalam kira-kira 100 orang penduduk dari Kampung Sahom, Kampar berkumpul beramai-ramai untuk menyatakan bantahan terhadap aktiviti perlombongan emas haram di sebuah ladang kelapa sawit di kampung tersebut yang menyebabkan berlakunya pencemaran air di Sungai Kepar.

Menurut Ketua Kampung Sahom, Mohd. Lot Abdul Hamid, penduduk bimbang sekiranya aktiviti perlombongan haram sejak awal tahun lalu itu tidak dihentikan, ia boleh mengganggu ekosistem sungai dan menjejaskan kesihatan mereka.

“Kebelakangan ini, penduduk kampung sering melihat air Sungai Kepar yang mengalir ke Sungai Dipang tercemar dan kami bersepakat untuk mencari punca pencemaran tersebut.

“Pada awalnya kami hanya menyangka air yang keruh di sungai tersebut merupakan perkara biasa selepas hujan.

“Namun, apa yang berlaku, air sungai tetap keruh pada musim panas dipercayai akibat daripada pelepasan air dan sisa galian aktiviti pelombongan dipercayai emas itu,” katanya kepada pemberita di tapak lokasi perlombongan itu semalam.

Hadir sama, Pengerusi pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Perak, Sajeeda Muhammad dan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malatysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Sementera itu, Sajeeda mendesak semua pihak mengambil perhatian serius dalam isu ini termasuk Pejabat Tanah dan Galian Perak, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Geosains.

“Saya amat terkejut dan sedia apabila sungai sebagai khazanah alam ini telah diteroka dan di cemari dengan aktiviti perlombongan haram sehingga menjejaskan ekosistem dan kesihatan penduduk,’’ katanya.