Tan Sri Mah King Thian Zahir Komitmen Bantu Persatuan Orang Asli Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Pengerusi MHC Plantation Bhd, Tan Sri Mah King Thian menzahirkan komitmen beliau untuk membantu Persatuan Orang Asli Perak (POAP) dalam agenda membangunkan masyarakat orang asli di negeri ini terutamanya dalam aspek pendidikan.

Menurut beliau, ini kerana pencapaian masyarakat orang asli dalam pendidikan, kemahiran dan ekonomi masih rendah. Katanya, penubuhan Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak termasuk Bangunan Chinta Bistari sebagai pusat program Tanggungjawab Sosial Koperat (CSR) memang tepat pada masanya kerana ia dapat membantu kerajaan dalam memajukan masyarakat orang asli supaya tidak terus ketinggalan dan mampu bersaing dengan masyarakat lain.

“Saya memberi sokongan padu kepada Yayasan Orang Asli Perak dan Persatuan Orang Asli Perak dalam menjayakan projek ini kerana saya merasakan ini adalah salah satu cara untuk kami daripada MHC Plantation Bhd dan Cepat Wawasan Group Bhd menyalurkan program CSR kepada masyarakat yang amat memerlukan.

“Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada individu yang berusaha dengan gigih membangunkan masyarakat orang asli,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Bangunan Chinta Bistari, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak Kerawat (PKPOA), Simpang Pulai pada Sabtu.

Bangunan itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. Hadir sama Pengerusi Pengurusan Orang Asli Perak, Datuk Suki Mee dan Pengerusi Majlis Penasihat Yayasan Orang Asli Perak , Datuk Dr Bah Piyan Tan.

Sehubungan itu Tan Sri Mah menyeru agar semangat perjuangan membangunkan masyarakat orang asli datangnya dari akar umbi.