Tempoh PKPB Boleh Disingkatkan Jika Lengkungan Rata

Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 9 Nov (BERNAMA) | Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang boleh dipendekkan daripada empat kepada dua minggu jika lengkung jangkitan COVID-19 berjaya diratakan lebih awal.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah mengehadkan pergerakan dari satu zon ke zon lain, daerah atau negeri  adalah tindakan terbaik untuk membendung penularan virus, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan.

“Selagi ada pergerakan, berlaku pendedahan dan risiko kepada jangkitan. Tidak akan kembali kepada keadaan asal, sebab ini adalah norma baharu kerana virus itu sudah ada dalam komuniti.

“Kita perlu hidup dengan virus dan kita perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan amalan dan pencegahan jangkitan untuk terus hidup,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata ketika Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, yang menyaksikan semua sektor ditutup kecuali perkhidmatan penting dibenarkan, negara mengambil masa sekitar tiga bulan untuk membendung dan menangani virus tersebut.

Oleh itu, beliau berkata dengan pengalaman kerajaan daripada pelaksanaan PKP sebelum ini, sangat penting untuk mengimbangi antara ekonomi dan mata pencarian dengan membenarkan sektor berkenaan beroperasi namun terdapat beberapa sekatan.

Sabtu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

Sementara itu, mengenai peningkatan kes di Negeri Sembilan hari ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat enam kluster aktif direkodkan antaranya kluster Kaya, Lengkuk, Gedong dan Hentian.

“Kami telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu, ujian calitan dan saringan ke atas mereka. Aktiviti kesihatan awam juga dijalankan, “ katanya.

Sebagai contoh di Port Dickson, Dr Hisham berkata walaupun kurang daripada 20 kes membabitkan pekerja, aktiviti kesihatan awam telah dilaksanakan di Mukim Jimah, iaitu kawasan tempat tinggal ramai pekerja.

Katanya, ini adalah pengurusan yang proaktif dalam melihat risiko, sambil menambah bahawa pengurusan risiko telah dilakukan untuk membolehkan campur tangan kesihatan awam dan langkah pencegahan.

Dr Noor Hisham berkata aktiviti Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beberapa bulan akan datang adalah memberi tumpuan kepada COVID-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

“Jika ada keperluan untuk melihat kepada peruntukan, ada semakan pertengahan penggal, kami akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.