Tidak Ramai Sedar Potensi Buluh Hasilkan Pelbagai Produk Konsumer – Teresa

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Tidak ramai yang tahu bahawa buluh sebenarnya adalah begitu versatile, selain dijadikan perabot, buluh juga boleh dijadikan pelbagai barangan konsumer termasuk pakaian daripada baju, tudung, jubah dan sebagainya.

Sempena Hari Buluh Sedunia 2019, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia telah menganjurkan majlis sambutan Hari Buluh Sedunia di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh dari 12 hingga 13 Oktober 2019. Majlis disempurnakan oleh Menteri Indsutri Utama, Puan Teresa Kok.

Menurut Teresa, beliau berasa gembira kerana kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu telah memperuntukkan RM150 juta untuk tujuan penanaman integrasi seperti nanas, kelapa, koko termasuk buluh.

“Kita akan gunakan (sebahagian) peruntukan ini untuk nursery (tapak semaian) buluh di Lahat, Perak,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa terharunya kerana kerajaan negeri dan juga Menteri Besar Perak turut menunjukkan minat terhadap pembangunan industri buluh.

Katanya, program ini bertepatan dengan hasrat Kementerian Industri Utama mengikut Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011-2020 di mana pelan itu dirangka untuk menjadikan buluh sebagai sumber alternatif kayu dengan mempromosi kepelbagaian kegunaan buluh dan produk berasaskan buluh.

“Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai potensi buluh yang ‘versatile’ dan mesra alam selain dilihat sebagai sumber pendapatan baharu yang boleh diterokai,” kata beliau semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Buluh Sedunia 2019 di Hotel Casuarian@Meru, Ipoh hari ini.

Tambahnya, walaupun tahun depan adalah tahun terakhir Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh, beliau yakin dengan kerjasama yang rapat dengan kerajaan negeri akan membolehkan membawa masuk pelabur trmasuk pelabur dari Jepun untuk membangunkan industri buluh di negeri Perak.

Teresa dalam ucapannya menekankan betapa luasnya pasaran produk buluh dan produk berasaskan buluh di mana pada tahun lepas, jumlah dagangan dunia bagi produk buluh dan bersaskan buluh ialah sebanyak $68.8 bilion dolar. Ini jauh sekali jika dibandingkan dengan eksport produk buluh negara ini yang hanya setakat RM9.97 juta sahaja.

“Maksudnya ini adalah satu industri yang ada prospek yang cerah tapi kita selama ini terlalu tertumpu kepada kelapa sawit dan getah … kita dah abaikan banyak jenis tanaman lain yang boleh dieksport dan bawa masuk dana asing masuk ke sini,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada MTIB kerana terlibat dalam inisiatif menganjurkan sambutan Hari Buluh Sedunia 2019 pada tahun ini.