Larangan Penggunaan Vape Ke Atas Remaja Bawah 18

Reading Time: < 1 minute

Remaja kurang 18 tahun di negara ini dilarang membeli dan mengguna rokok elektronik atau vape tidak lama lagi.

Peraturan larangan baharu itu antara kandungan dalam akta baharu yang telah digubal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Akta baharu itu sedang disemak Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Kesihatan”, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, YB Ahmad Marzuki Shaary di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, kajian terperinci perlu dibuat untuk kaji semula keperluan menguatkuasa larangan penjualan rokok elektronik secara menyeluruh.

“Justeru, satu Jawatankuasa Kerja Pakar telah ditubuhkan dan dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dr Lee Boon Chye yang mengkaji semula bentuk kawalan yang akan diambil.

Rokok elektronik termasuk vape telah menular di Malaysia sejak 2013 lagi malahan ia menjadi “trend” dalam kalangan remaja sekolah dan merupakan satu epidemik global yang membimbangkan pelbagai pihak.

Kajian – kajian terbaru telah menunjukan kesan sampingan terhadap penggunaan rokok elektronik termasuk beberapa kematian yang dicatatkan di seluruh Amerika Syarikat.

Di Malaysia, rokok elektronik bernikotin telah dikawal di bawah akta Racun 1952 dimana akta ini melarang penjualan sebarang persediaan bernikotin kecuali oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar. Mana-mana individu didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan yang bernikotin tanpa kelulusan dari Pihak Berkuasa Kawalan Dadah boleh didakwa di bawah peruntukan peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984, Akta Jualan Dadah 1952. Individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.