Kacang Putih Buntong di Geneva

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Ipoh yang sinonim dengan produk kacang putih keluaran pengusaha India dari Buntong bukan saja mendapat sambutan di dalam negara malah turut dipasarkan ke luar negara.

Demikian menurut EXCO Sumber Manusia negeri Perak, YB A. Sivanesan semasa ucapan ringkasnya ketika melawat kemajuan projek pembinaan pintu gerbang hiasan di Kampung Kacang Putih di Buntong hari ini.

Katanya, semasa mengiringi Menteri Sumber Manusia, YB Kulasegaran menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva pada Jun lalu hairan apabila melihat produk kacang putih terdapat di sana.

“Ini menunjukkan ia diedar di mana-mana saja. Malah ia juga mempunyai sijil Halal,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau sempat mengimbau kembali sejarah pahit asal-usul pengusaha kacang putih di Ipoh.

“Kampung kacang putih sejarahnya bukan setahun dua … sejarahnya lebih lama dari itu.

“Mungkin ada yang tidak tahu bahawa pada tahun 1975, sebelum itu penduduk kampung ini berada di Gunung Cheroh, akibat runtuhan, hampir 40 telah terkorban.

“Kemudian kerajaan telah membawa mereka keluar dari sana dan menetap di kampung ini. Dari situlah mereka memulakan semula perusahaan kacang putih,” katanya menceritakan sejarah pengusaha kacang putih di sini.

Tambahnya lagi, kini pihak Tourism di bawah portfolio YB Tan Kar Hing telah memasukkan Kampung Kacang Putih ke dalam carta pelancongan.

Ini merupakan suatu yang unik di mana sebuah kampugn menjalankan perusahaan kacang putih khususnya bagi kaum India dan ini tidak terdapat di negara India sekalipun.

Beliau dalam masa yang sama mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 ribu untuk kerja-kerja tambahan pada gerbang seperti lampu hiasan dan baik pulih kerosakan jalan menuju ke kampung berkenaan yang becak apabila hujan.

Beliau memberi keyakinan bahawa kerajaan negeri sentiasa akan cuba membantu keperluan pengusaha kacang putih di Kampung Kacang Putih, Buntong ini melalui Persatuan Penjual Kacang Putih Ipoh Perak.