IPOH | Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menegaskan tindakan pembangkang menggelar Amanah sebagai `kuda’ DAP agak melampau dan harus ditentang habis-habisan.
Katanya, pembangkang berusaha menanam kefahaman seolah-olah Amanah tidak punya jalur perjuangannya sendiri.
Menurut beliau, telah timbul di kalangan rakyat pada hari ini bersikap Amanahfobia.
“Fobia kepada Amanah meskipun mereka tidak pernah datang bertanya dan berdiskusi tentang apa yang mereka khuatir dan ketakutan mereka itu.
“Masalah ini adalah serius sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Naratif menggelar Amanah sebagai `kuda’ DAP bukan sahaja berlegar di kalangan lawan politik malah sudah menjalar kepada segmen mereka yang berada di atas pagar sebelum ini.
“Sudah pastinya kita marah dan tidak bersetuju dengan tohmahan-tohmahan sedemikian. Bukan kerana kita takut dan bimbang orang Melayu berpaling daripada kita, tetapi mereka telah membawa mesej yang palsu dan tidak benar tentang Amanah dan rakan parti kita DAP,’’ katanya.
Hasnul berkata demikian semasa berucap di Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Negeri Perak Kali Ke-3 (2019) di Hotel Tower Regency, Ipoh pada Ahad. Konvensyen itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.
Justeru itu beliau menambah, jalan keluar bagi masalah Amanahfobia ini tidak lain dan tidak bukan adalah dengan berhujah, turun ke lapangan di peringkat akar umbi.
“Kita harus tampil dengan sifat dan sikap yang matang. Pemuda perlu memaksimakan program akar umbi, membawa mesej Islam Rahmatan Lil ‘Alamin dalam erti kata yang sebenar dan membuka minda mereka dengan sikap yang terpuji,’’ katanya,
Menurut Hasnul, Pemuda harus sepenuhnya memberi perhatian bagaimana program-program yang dirancang dapat mengikis Amanahfobia dalam masyarakat terutamanya di kalangan Melayu Islam.
Dalam ucapannya juga beliau mengakui pentadbiran diterajui Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat menarik undi Melayu pada tahap sepatutnya.
Katanya, usaha itu belum sepenuhnya memberi keyakinan kepada pengundi Melayu bahawa PH tidak akan meranapkan hak Melayu, kedudukan Islam dan Kedaulatan Raja-Raja.
“Kita mahu Melayu Islam yang dibina ketika Malaysia Baharu adalah Melayu yang bermaruah, benci rasuah, progresif dan mampu bersaing, tetapi kita masih belum sepenuhnya mengerahkan upaya maksimum untuk meningkatkan keyakinan itu.
“Kita harus mengambil cabaran ini sebagai teras utama membentuk jawatankuasa khas bagi menganalisa keadaan ini, mendapatkan maklumat, menghimpunkan mereka yang pakar untuk membincangkannya secara teliti,’’ kata Hasnul.
Hasnul turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mencari penyelesaian segera menjelaskan isu seperti peneroka Felda, pekebun kecil Felcra, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol.
Beliau yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak turut mengingatkan gabungan parti itu berpotensi kehilangan empat kerusi Parlimen di Perak jika pola kecenderungan pengundi Melayu kepada PH terutama Amanah tidak diberi perhatian serius.
Menurut Hasnul, perkara itu dinyatakan dalam laporan pada kajian Februari lalu oleh dua badan kajian politik bahawa kerusi Parlimen di Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Tanjung Malim berpotensi tumbang.
“Walaupun kajian bersifat semasa dan dapatannya boleh berubah tetapi masih memerlukan perhatian serius dan jangan kita berada dalam sindrom penafian,’’ kata Hasnul.