Tuduhan Amanah Dibiayai DAP Tidak Berasas – Asmuni

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Bendahari Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Asmuni Awi menyifatkan dakwaan kononnya punca kewangan parti itu dibiayai DAP sebagai berniat jahat dan tidak berasas.

Katanya, matlamat sebenar tuduhan itu dibuat adalah semata-mata untuk memburuk-burukkan imej Amanah di mata rakyat.

Pengerusi Amanah negeri Perak itu turut menegaskan, dakwaan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu juga sebagai tidak berasas.

“Saya berpegang kepada prinsip apabila melemparkan tuduhan mestilah disertakan dengan bukti dan bukan cakap sahaja.

“Zahid yang telah berkawan dengan PAS sepatutnya mesti tahu (hukum). Dia tidak boleh sesuka hati tuduh tanpa bukti, paling tidak ada bukti-bukti prima facie,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Negeri Perak Kali Ke-3 di Ipoh pada Ahad.

Ahad lepas, Ahmad Zahid ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat mencabar Presiden Amanah, Mohamad Sabu untuk menafikan bahawa punca kewangan parti tersebut sebenarnya adalah dibiayai oleh DAP.

Kata beliau, penafian itu perlu dilakukan bagi menepis dakwaan tentang pembabitan DAP pada awal penubuhan Amanah.

Asmuni seterusnya berkata, tuduhan tanpa bukti juga boleh dilakukan oleh pihaknya jika ingin menuduh UMNO menerima dana haram dan kemudian meminta dikemukakan bukti untuk penafian.

Terdahulu dalam ucapannya, Asmuni mengingatkan para perwakilan tidak memandang rendah gabungan UMNO-PAS yang boleh memberikan cabaran pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kita kena bersedia dari sekarang dan jangan berlengah merangka strategi yang terbaik untuk berhadapan pihak lawan,’’ kata Asmuni.