Tindakan Tegas Terhadap Pihak Cetus Provokasi Terhadap Pegawai Imigresen

Reading Time: < 1 minute

IPOH (15 Feb) | Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sekumpulan peniaga asing yang membuat provokasi terhadap pegawai imigresen yang menjalankan tugas di Batu Caves baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan keselamatan negara malah turut mengganggu perniagaan yang dijalankan oleh peniaga tempatan.

Katanya adalah jelas bahawa peniaga tidak menghormati pihak berkuasa dan undang-undang negara.

Beliau dalam masa yang sama memuji tindakan pegawai Imigresen yang terlibat kerana tidak bertindak balas terhadap provokasi sedemikian.

“Pegawai bertindak bijaksana tidak ambil tindakan tapi timbul masalah lain sedangkan pihak terlibat bertindak secara luar batas iaitu menghalang pegawai dan penjawat awam menjalankan tugas, yang merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-48 Rela Peringkat Kebangsaan 2020 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata jabatan itu akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.