Urus Tadbir PKNP, SADC, MB Inc Bakal Dirombak… Akan Diumum Dalam Masa Terdekat

Reading Time: < 1 minute

TAPAH: Tiga syarikat utama berkaitan kerajaan (GLC) yang diurus tadbir kerajaan negeri Perak sebelum ini sedang menjalani siasatan audit forensik dan bakal mengalami rombakan.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Datuk Azumu berkata, rombakan terhadap tiga syarikat GLC terbabit iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya telah ambil tindakan dengan membekukan akaun mereka buat sementara dan juga telah bertindak dengan melakukan forensik audit serta bakal melihat perundingan-perundingan mereka sebelum ini.”katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Tapah pada Rabu.

Menurut Ahmad Faizal, pendekatan yang diambil itu bersifat ‘bedah siasat’ secara teliti dan bukannya dilakukan dengan secara tergesa-gesa. Beliau menjelaskan, kesemua tindakan diambil itu sebagai membuka ruang kepada pihak kerajaan negeri untuk mengetahui keadaan sebenar mengenai GLC tersebut selain memudahkan proses perencanaan serta perancangan untuk memandu arah syarikat pada masa akan datang.

Katanya, beliau telah melaksanakan tindakan itu sebaik sahaja memegang jawatan Menteri Besar Perak seiring saranan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.