Tajudin Bangkit Semangat Perjuangan Melayu Pasir Salak…Apabila Umum Tanding Jawatan Tertinggi Parti

Reading Time: 2 minutes

SUNGAI MANIK: Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 baru-baru ini tidak melunturkan semangat perjuangan ahli semua peringkat akar umbi UMNO Bahagian Pasir Salak, malah membangkitkan lagi obor perjuangan parti sepertimana telah dibuktikan pejuang-pejuang tersohor Melayu ketika menentang penjajah Inggeris di Pasir Salak.

Obor dan semangat tinggi perjuangan itu terus diterjemahkan dalam senario politik UMNO sekarang yang amat memerlukan barisan kepimpinan mantap bagi meneruskan agenda perjuangan parti demi kelangsungan masa depan dan kepentingan hak orang Melayu.

Malam tadi, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, terpanggil menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu akan datang. Namun beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak mendedahkan jawatan yang bakal ditandinginya ketika ditanya pemberita dan jawapannya hanya akan beliau umumkan secara rasmi pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad nanti.

Namun khabar angin menyebut kemungkinan Tajudin yang juga Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bertanding jawatan Naib Presiden. Tajudin menjelaskan kesediaannya itu adalah berperanan membantu memantap parti dan mengembalikan semula kegemilangan UMNO dalam membela kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

“Kepimpinan UMNO yang terpilih biarlah terdiri daripada orang yang betul-betul memahami cabaran dihadapi sekarang.

“Kesungguhan kita bukan saja untuk tebus kekalahan, tapi untuk menjaga hak rakyat terutama Melayu yang masih perlukan pembelaan.

“Kerana itu, jika mendapat sokongan akar umbi, saya berhajat untuk bertanding jawatan peringkat tertinggi, apa jawatan itu, saya akan umum secara rasmi dalam sidang media pada Ahad nanti di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Salak, malam tadi. Menurut Tajudin, bersandarkan pengalaman selama 42 tahun dalam UMNO dan ketua bahagian sejak 2008, beliau optimis dapat membantu kebangkitan semula parti.

Katanya, sebenarnya semangat orang Melayu tidak luntur dan ini terbukti susulan keputusan PRU14 lalu yang menunjukkan sokongan orang Melayu masih kuat kepada UMNO apabila menjadi parti paling tinggi memenangi 54 kerusi di Parlimen

“Sekarang ni pun ahli di peringkat cawangan masih keluar hadiri persidangan, menunjukkan komitmen mereka kepada perjuangan, kalah tidak bermakna kita tidak berupaya.

“Bagi saya kepimpinan tertinggi UMNO sangat penting kerana merekalah yang akan memandu parti ini, peneraju kepada lebih 3.7 juta ahli seluruh negara,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan parti itu mempertandingkan jawatan tertinggi pada pemilihan kali ini, Tajudin berkata, jika ada pilihan tentunya ahli akan buat yang terbaik, naib presiden contohnya, akan ada empat ke lima calon bertanding, jadi ahli punya pilihan mereka.