Yunus Nafi Dakwaan Bocor Minit Mesyuarat MMKN

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Exco Yunus Jamhari hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan terhadapnya konon beliau membocorkan maklumat sulit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau dalam kenyataan media yang diedarkan menyebut tuduhan keji itu dibuat untuk membunuh karier politiknya malah ia telah bermula sejak Pemilihan Parti Keadilan Rakyat tahun lalu.

Beliau menambah tuduhan tersebut dibuat semata-mata kerana beliau berdiri teguh bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali.

“Konspirasi jahat ini kini diteruskan untuk menjatuhkan saya sebagai ahli exco menjelang Istiadat Angkat Sumpah Exco.

“Saya ingin menegaskan bahawa saudara Beh Yong Kean yang membuat laporan polis terhadap saya adalah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang,” ujar beliau.

Yunus mendakwa Beh Yong mempunyai motif dendam terhadapnya memandangkan beliau tegas bersama kerajaan negeri melaksanakan proses penguatkuasaan dan tidak meluluskan beberapa permohonan tanah yang dipohon oleh beliau (Beh Yong) sejak tahun lalu.

Yunus juga percaya ada dalang di sebalik tindakan yang dilakukan dan Beh Yong diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencalarkan imej dan integriti beliau sebagai anggota exco.