“Bossku” di Gerbang Malam: Sambutan Luarbiasa, Bukan “Bishe-bishe”

Reading Time: < 1 minute

Bekas Perdana Menteri yang sedang menghadapi tuduhan pengubahan wang haram malam ini mengunjungi pusat penjaja Gerbang Malam di bandaraya Ipoh dengan disambut meriah oleh penyokongnya.

“Ini sambutan luarbiasa… bukan bishe-bishe (biasa-biasa),” katanya.

Beliau yang sering bertemu orang ramai sejak akhir-akhir ini mendakwa kunjungannya malam ini di pusat penjaja itu adalah yang paling agresif sekali.

“Malam ini paling agresif sekali, pembantu saya terpaksa menyelamatkan saya.

“Ini menunjukkan saudara-saudara, tuan-tuan dan puan-puan cukup bersemangat dengan gerakan ‘bossku'” katanya lagi di hadapan orang ramai yang mengerumuninya di kawasan Gerbang Malam itu.

Beliau seterusnya menyatakan tindakannya yang sering muncul di khalayak ramai bertemu rakyat adalah bertujuan untuk menyelami permasalahan rakyat dan merasai denyut nadi rakyat.

Melihat suasana sambutan yang diterima, beliau membuat kesimpulan bahawa rakyat masih merindui zamannya.

“Saya dapat membuat kesimpulan bahawa saudara-saudari tuan-2 sekelian barangkali rindu zaman saya dahulu,” ucap beliau disambut dengan sorakan bersemangat dari orang ramai.

Menurut Najib lagi, istilah “bossku” yang menjadi viral masa kini melambangkan cita-cita, idealisme, aspirasi rakyat Malaysia khususnya generasi muda yang ingin kepada keadaan yang lebih baik.

“Boss adalah rakyat… bukan saya.

“Insyaallah kita boleh lakukan perubahan ke arah yang lebih baik lagi,” katanya.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad.