KJ Rayu Zahid Tidak Ulangi Kesilapan Sama

Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR | Bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merayu supaya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak sebagai presiden dan bukannya seperti pegawai kepada bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya Umno perlu satu lembaran baru di mana ia harus dipimpin oleh pimpinan baru.

Ujar Ahli Parlimen Rembau itu, beliau akan tetap lantang bersuara demi meneruskan agenda perjuangan parti.

Namun dalam masa yang sama, Khairy mengingatkan pucuk pimpinan parti agar tidak mengulangi kesilapan yang sama dengan melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional.

“Saya masih setia, kami masih bersama dengan Umno dan bukan satu dua…banyak sampai hari ini.

“Tapi kami mohon pada pucuk pimpinan janganlah buat keputusan yang tak masuk akal, maksud kegilaan apabila kita mengulangi kesilapan yang sama (lantikan Najib) dan mengharapkan keputusan yang lain.

President act like president, jangan seperti pegawai kepada Datuk Seri Najib, do the same thing again and again..hope for another outcome…crazy, (presiden bertindaklah seperti presiden, jangan lakukan perkara yang sama berulang kali … dan mengharap kepada keputusan yang berbeza … gila),  ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas di Kem PLKN Kota Lama Kuala, di sini pada Ahad.

Yang turut sama, Ketua Umno Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau juga diminta mengulas berhubung kesetiaannya terhadap Umno susulan suara lantangnya bersama-sama dengan Nazri yang digambarkan tidak gembira dengan lantikan itu.

Beliau juga menafikan kononnya ada pakatan di antara beliau dan Nazri.

“Kami akan terus bersuaralah…inilah budaya kita, bila ada dua suara yang sependapat tiba-tiba ada pakatan. Tiada apa-apa pun,”katanya.