Nazri Dedah Najib Mahu Jawatan Pengerusi BN Semula

Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR | Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak memohon jawatan menjadi Pengerusi BN.

Nazri juga mendakwa, beliau tahu jawatan yang dipohon ialah Pengerusi BN dan bukannya Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

“Saya tahu jawatan dipohon Pengerusi BN, bukan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, bermakna dia (Najib) melihat masa hadapan kita cerah dengan kerjasama Umno dan PAS.

“Jadi dia mahu mengambil kesempatan, ramai ahli Umno tidak faham tindakan saya tidak bersetuju pelantikan Datuk Seri Najib, ini kerana saya sayang parti dan buat untuk Umno bukan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas di Kuala Kangsar pada Ahad.

Yang turut sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Katanya lagi, selepas membuat kenyataan pelantikan itu, yang dianggap sebagai langkah ke belakang, dia menerima banyak panggilan telefon daripada ahli dan pemimpin Umno yang menyatakan persetujuan mereka.

“Orang melayu ni termakan budi banyak, mereka tak sanggup menyatakan tidak bagus secara terbuka dan saya nak tanya dengan ikhlas apa sebenarnya nasihat dia (Najib) boleh beri walhal waktu jadi ketua parti kita kalah.

“Biarlah pimpinan baru yang dipilih perwakilan sendiri yang bawa kita dalam perjuangan kalangan pemimpin akan datang,” katanya.