Program `Moh Belotah’ Ceriakan Masyarakat Kuala Kangsar

Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR | “Moh Belotah” iaitu konsep mengajak pengunjung menyertai aktiviti kebudayaan dan kesenian yang berhubung kait dengan persawahan diamalkan sejak zaman dahulu masih dijalankan oleh masyarakat Melayu Kuala Kangsar.

Mungkin ramai rakyat Perak terutama generasi muda tidak mengetahui seni kebudayaan belotah ini namun apabila program kemasyarakatan ini yang berkonsepkan infoteraktif dengan elemen pendidikan diadakan di Dataran London, Kuala Kangsar baru-baru ini ternyata ia mendapat sambutan baik dari kalangan masyarakat Kuala Kangsar.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Srikandi Bersatu Bahagian Kuala Kangsar mengenengahkan pelbagai aktiviti menarik dan menceriakan antaranya santai kuala, aktiviti Zumba dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Turut diselitkan program Mahabbah Kasih Siri 4 dimana sumbangan amal diserahkan kepada golongan yang memerlukan antaranya berupa set tilam daripada Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid. 

Selain itu diadakan cabutan bertuah untuk kira-kira lebih 300 pengunjung dari pelbagai peringkat usia yang hadir memeriahkan acara.