Yusoff Selesai Jalani Ujian Poligraf

Reading Time: < 1 minute

Yusoff Rawther, individu yang mendakwa cuba dicabul oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menjalani ujian alat pengesan pembohongan atau poligraf di ibu pejabat polis Bukit Aman semalam.

Menurutnya peguam Yusoff, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, Yusoff mengambil ujian itu atas kerelaannya kerana dia bersungguh-sungguh ingin memberikan kerjasama dalam siasatan pihak polis ke atas dakwaannya.

Ujian dikatakan bermula jam 4.30 petang dan selesai kira-kira jam 8.30 malam, menurut laporan beberapa media tempatan.

“Butiran lanjut semuanya ada bersama pakar yang mengendalikan ujian tersebut dan saya percaya laporan ujian itu akan dimajukan kepada pihak siasatan,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Bukit Aman.

Pada 4 Disember lalu, kira-kira beberapa hari sebelum Kongres PKR diadakan, Yusoff tampil mengadakan sidang media dengan kenyataan Akuan Bersumpah mendakwa bekas majikannya, Presiden PKR Anwar Ibrahim cuba mencabul kehormatan beliau semasa berada di kediaman presiden itu di Bukit Segambut.

Pada 7 Disember, Yusoff membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan menyerahkan akuan bersumpah menggesa supaya siasatan dilakukan. Dua hari kemudian, Yusoff hadir bersama peguam ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk memberi keterangan. Beliau menghabiskan selama hampir 9 jam di sana.

Keesokannya, beliau sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman untuk menyambung memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.