Ketua Balai Ditahan Positif Dadah

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR (Utusan) – Masalah dadah bukan baru, sejak berdekad lamanya ia menjadi musuh no. 1 negara.

Malah dari semasa ke semasa turut dilaporkan sebilangan kecil penjawat awam termasuk anggota keselamatan terbabit dengan najis itu.

Terbaru, seorang pegawai polis yang juga ketua balai di Selangor ditahan selepas didapati positif dadah, Selasa lalu.

Lebih mengejutkan, pegawai berkenaan positif dadah selepas menghadiri satu pesta dadah di ibu negara.

Turut bersamanya, tujuh anggota dari balai sama namun mereka didapati negatif.

Memetik laporan BERNAMA.com, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, ketua balai tersebut merupakan antara lapan pegawai dan anggota menghadiri satu pesta dadah di sebuah premis persendirian di Kuala Lumpur.

“Ketua balai tersebut didapati positif dadah jenis syabu manakala tujuh anggota dari balai sama didapati negatif selepas menjalani ujian saringan air kencing,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

“Pemeriksaan dan ujian saringan dadah dijalankan terhadap mereka selepas menerima aduan dan maklumat berhubung pesta tersebut,” katanya.