NGO Alam Sekitar Tampil Buat Laporan Polis Acara Tidak Mendapat Kelulusan PBT

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

Lanjutan dari isu kedegilan sebuah syarikat swasta menganjurkan pertandingan memancing di pantai Pasir Panjang Segari esok, beberapa aktivis dari NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) tampil membuat laporan polis di Balai Polis Segari, Manjung petang tadi.

Aktivis SAM, Encik Meor Razak bin Meor Abdul Rahman hadir bersama Noor Ismady bin Ahmad dan Shazni Munir bin Abd Rashid di Pejabat Polis Segari membuat laporan berkaitan isu penganjuran pertandingan memancing selepas mendapat maklumat dari laman Facebook pihak penganjur bahawa mereka akan tetap meneruskan acara tersebut walaupun tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa.

Pertandingan memancing yang dinamakan sebagai Edisi Gegar Utara dianjurkan oleh syarikat Joran Bagus Sdn. Bhd. dijadualkan berlangsung pada 14 Oktober 2018 (esok) di kawasan pantai Pasir Panjang, Segari.

 

Menurut laporan itu, pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telahpun menolak penganjuran acara itu oleh sebab status kawasan penganjuran pertandingan tersebut ialah kawasan sensitif alam sekitar.

Pantai Pasir Panjang diberikan status Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS 1), dimana ditakrifkan sebagai ‘tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.

Menurut Meor Razak, sebagai badan bukan kerajaan, pihaknya akan membuat pemantauan terhadap acara tersebut dan memohon agar pihak MPM dan Polis mengambil tindakan sewajarnya jika pihak penganjur didapati meneruskan juga acara tersebut.

Pertandingan memancing itu bukan saja tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa, malah Menteri Besar Perak juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa acara tersebut tidak dibenarkan dan meminta penganjur menukar ke lokasi lain yang lebih sesuai.