7 Ditahan Dalam Tunjuk Perasaan Pekebun Haram Cameron Highland

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

CAMERON HIGHLANDS, 23 Dis — Tujuh lelaki ditahan polis dalam tunjuk perasaan oleh kira-kira 200 orang bagi membantah operasi Op Lestari 2 untuk merobohkan kebun sayur haram dan struktur bangunan di kawasan tanah tinggi ini hari ini.

Ketua Polis Daerah DSP Ashari Abu Samah berkata tujuh lelaki berkenaan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata Op Lestari 2 dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan petugas yang menjalankan operasi itu di tanah kebun haram seluas 97.12 hektar membabitkan 60 pemilik dan kebanyakannya diusahakan di Sungai Ichat, Kuala Terla, katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

“Pada jam 1030, lebih kurang 200 orang telah berkumpul di jalan masuk ke Ipoh Road, Kuala Terla dengan tujuan untuk memasuki lokasi operasi. Kebanyakan mereka berhimpun di atas jalan utama dan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku.

“Saya telah berbincang beberapa kali dengan kumpulan terbabit untuk bersurai, namun mereka enggan memberikan kerjasama dan akhirnya tindakan menyuraikan serta menangkap telah dijalankan,” katanya.

“Setakat ini keadaan kembali tenang. Operasi hari ini tamat pada jam 5 petang dan akan disambung esok,” kata Ashari.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 9 Dis lalu bersetuju Op Lestari 2 diteruskan bermula 16 Dis lepas.

Pada 7 Sept lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika meninjau kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya di Sungai Ichat bertitah agar pencerobohan di lokasi berkenaan dihentikan segera.

— BERNAMA