Foto: Mohd Syawalrizal, Adzhar Ali
IPOH | Kesan pandemik Covid-19 yang dijangka akan memakan masa yang lama sehingga ke tahun-tahun yang mendatang telah mencetuskan idea inovatif dari Menteri Besar Perak sendiri, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu untuk mewujudkan sebuah pawagam berkonsepkan ‘menonton dari dalam kereta’ yang dikatakan yang pertama sepertinya di negeri Perak dan Malaysia.
Menurut Ahmad Faizal, pengalaman berdepan dengan kawalan pergerakan di mana pawagam tidak dibenarkan beroperasi kerana penjarakan sosial telah mencetus idea beliau untuk memulakan tayangan wayang berkonsepkan ‘wayang pacak’ seperti yang pernah dilalui pada zaman kanak-kanak dahulu.
“Jangan biarkan Covid mengawal kita, biar kita yang mengawal Covid … maka datanglah idea untuk berhibur melalui menonton filem melalui (konsep) pandu lalu.
“Saya juga amat gembira kerana Sini Drive adalah yang pertama di Malaysia,” ujar beliau selepas melancarkan pawagam berkonsep pandu lalu dan tonton dari dalam kereta yang dinamakan Casuarina Sini-Drive di sini pada Jumaat malam.
Di samping itu, beliau mengingatkan pihak penganjur agar menjaga tatasusila pengunjung supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
Exco Pelancongan, Dato Nolee Ashilin bt Mohd Radzi berkata beliau sebagai Exco Pelancongan negeri sentiasa teruja dengan pengenalan produk-produk baru berkaitan sektor pelancongan negeri.
“Ia sudah pastinya akan memberikan sumbangan kepada tarikan pelancong ke negeri Perak.
“Pawagam pandu lalu merupakan idea yang sangat baik demi memberi peluang kepada rakyat untuk keluar meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga mereka dan pada masa yang sama kekal berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya.
Beliau juga yakin dengan adanya pawagam sebegini pastinya mampu untuk menarik minat lebih ramai pelabur datang melabur ke negeri ini dengan potensi yang ditunjukkan oleh Perak Corporation Berhad (PCB), syarikat milik kerajaan negeri Perak.
Pawagam berkonsepkan pandu masuk dan menonton dari dalam kereta yang dinamakan Casuarina Sini-Drive ini boleh memuatkan 67 buah kenderaan bersaiz sebesar MPV dalam suatu masa. Ia mula dibangunkan dalam masa sebulan yang lalu dan dilengkapi dengan sistem tempahan tiket dalam talian melalui laman sesawang Sini-Drive. Terletak berdekatan dengan Bulatan Meru Raya, ia merupakan produk tarikan terbaru di bandaraya ini di mana orang ramai bersama keluarga boleh menikmati pengalaman baru menonton filem dari dalam kenderaan mereka sambil dapat terus menjaga SOP pandemik dan penjarakan sosial.
Sini-Drive dikendalikan oleh Casuarina Meru Sdn. Bhd. (CMSB), sebuah anak syarikat PCB Group.
Untuk membuat tempahan tiket, sila layari sini-drive.com.my