MELAKA | Seorang suri rumah ditegur Majistret selepas dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri dalam kesalahan yang dilakukan akhir September lalu.
Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh yang menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zalifah Salleh, 38, selepas tertuduh mengakui kesalahannya, turut mengingatkan perlakuan jenayah tetap perlu diberikan pengajaran setimpal.
“Pada waktu sekarang ini (pandemik Covid-19) saya faham, ramai yang terdesak tetapi puan boleh mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul dan bukannya mencuri. Matlamat tidak menghalalkan cara,” tegasnya.
Mengikut pertuduhan, Zalifah didapati dengan niat curang mencuri tanpa membuat sebarang pembayaran yang kesemua barangan bernilai RM161.10 kepunyaan juruwang, Siti Rahmah Muhamad Salih, 30.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2 petang di pusat beli-belah Aeon Bandaraya Melaka, Jalan Panglima Awang di sini, pada 30 September lalu.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu, wanita terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, antara makanan yang diambil tertuduh adalah dua kotak kopi jenama Starbucks, satu botol Nuttela 680 gram, dua bungkusan sushi, empat kotak susu UHT Dutch Lady, satu botol Ribena Mobile dan dua tin biskut coklat Amore.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman rendah diberikan dengan alasan sewaktu kejadian dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk membuat pembayaran.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Raudhah Mazman bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM1,200 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Zalifah yang hadir dengan memakai pelitup muka berwarna merah kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE