Polis Kesan Individu Sebar Info Palsu Koronavirus

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Pihak polis sedang menjejaki individu yang berkongsi maklumat palsu mendakwa ‘Malaysia Lockdown’ (Malaysia berkurung) yang telah menjadi tular di media sosial.

Menggambarkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia juga boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Kami akan menjejaki individu yang tidak bertanggungjawab yang berkongsi maklumat yang menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai.

“Fikirkan tentang kesan orang ramai sebelum berkongsi apa-apa maklumat,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba melalui laman Facebooknya yang rasmi berkata tidak ada perintah ‘lockdown’ di Malaysia kerana COVID-19.

Infografik dengan hashtag #Malaysialockdown yang menyatakan bahawa “Covid-19 Hour” akan berlangsung pada Isnin, 16 Mac dari pukul 8 malam hingga 10 malam menjadi tular di laman Facebook dan platform Whatsapp semalam.

Infografik itu juga menyebut COVID-19 Hour mengandungi beberapa arahan seperti tidak keluar dari rumah atau pergi ke tempat-tempat awam seperti pasar raya dan restoran serta bersembahyang dan berdoa.

Semakan Independent setakat jam 2 petang ke atas akaun individu yang menyebarkan maklumat tersebut masih lagi wujud dan info tersebut belum lagi dipadamkan. Malah terdapat hantaran terbaru mempertahankan tindakannya dengan memuat naik kenyataan ia memang bukan dari Kementerian Kesihatan dan bukan suatu bentuk ‘arahan’. Hantaran terbaru ini telah mendapat 59 perkongsian.