Al-Ikhsan Meterai MoU Bersama Kerajaan Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Al-Ikhsan Sport Sdn. Bhd yang menjadi penaja bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, telah memeterai satu perjanjian persefahaman dengan Kerajaan Perak bagi mengembangkan lagi pembangunan ekonomi sukan di Perak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, keputusan untuk menjalinkan kerjasama persefahaman ini hasil Persidangan Ekonomi Sukan yang diadakan minggu lepas.

Katanya, persidangan itu turut dihadiri Pengasas Al-Ikhsan, Ali Hassan Mohd Hassan.

“Di persidangan itu saya sempat berkongsi idea tentang bagaimanakah rancangan kita dalam memperkasakan agenda pembangunan sukan dan pembangunan ekonomi negeri melalui sukan dengan beliau.

“Dan itulah juga saya rasakan mengapa kita berada di sini hari ini. Ini merupakan jemputan untuk Al-Ikhsan melabur di negeri kita,” kata Howard.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata demikian kepada pemberita di Gerai Al-Ikhsan Sukma Perak 2018, Kompleks Sukan MBI, Ipoh pada Sabtu.

Sehubungan itu beliau berharap Al-Ikhsan dapat terlibat sama dalam perancangan pembangunan Bandar Sukan Bersepadu di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) suatu hari nanti.

Howard mencadangkan Al-Ikhsan dapat membangunkan sebuah kedai utama mereka di kompleks berkenaan untuk membawa limpahan ekonomi kepada warga Ipoh menerusi kewujudan peluang pekerjaan. Howard juga berharap Al-Ikhsan dapat membuka dan menambah lagi peluang-peluang pekerjaan kepada warga tempatan di daerah-daerah lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla pula berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan negeri kerana sudi bekerjasama dengan mereka bagi memperkasakan agenda ekonomi sukan di Perak.