Amal Sikap 3B Iaitu Berilmu, Berakhlak dan Bertanggungjawab – Nga Kor Ming

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengingatkan pemimpin-pemimpin yang memegang jawatan supaya mengamalkan sikap 3B iaitu berilmu, berakhak dan bertanggungjawab semasa menjalankan tugas.

Beliau berkata demikian semasa berucap menghadiri Konvensyen Biasa Wanita DAP Perak 2019 di Hotel Tower Regency di Ipoh pada Ahad.

Beliau turut berjanji DAP Perak akan menyumbangkan dana sebanyak RM20,000 kepada Wanita DAP Perak dengan syarat mereka harus mengadakan aktiviti-aktiviti dengan lebih kerap lagi.

Konvensyen kali ini mencatat kehadiran yang memberangsangkan, menurut wakil dari Jawatankuasa Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching.

Setiausaha Wanita DAP Perak, Wong May Ing membentangkan bahawa Wanita DAP Perak telah berjaya menubuhkan sembilan Bahagian Wanita DAP sejak tahun tahun 2013 iaitu di Parlimen Taiping, Sg Siput, Batu Gajah, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Teluk Intan, Lumut manakala pada tahun 2019, bahagian Parlimen Gerik dan Beruas.