Isu Setinggan, Penerokaan Tanah Akan Ditangani Sebaik Mungkin

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri menyedari isu setinggan dan penerokaan tanah haram yang membantutkan usaha kerajaan untuk menambah pelabur akan ditangani secara telus umpama ‘menarik rambut dalam tepung, tepung tidak berselerak’.         

Justeru itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu setinggan dan penerokaan tanah untuk pertanian akan ditangani dengan cara sebaik mungkin.

“Kerajaan mahu memastikan rakyat di negeri ini tanpa mengira kaum akan mendapat keadilan selain berpeluang menikmati faedah pembangunan yang kerajaan sedang rencanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan 10,000 tetamu pada majlis rumah terbuka Aifdilfitri Pakatan Harapan di Padang Meru Permai malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham dan barisan kepimpinan PH Perak.

Rumah terbuka itu diserikan dengan persembahan artis-artis popular tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah dan Zizie Kirana.

Ahmad Faizal Azumu juga menegaskan bahawa kesatuan dalam barisan kepimpinan PH Perak adalah mantap dan pentadbiran kerajaan akan memastikan rakyat Perak menikmati limpahan ekonomi.

“Walaupun terdapat pelbagai khabar angin yang entah dari mana, namun kami tetap bersatu hati dalam apa jua program begitu juga dalam merencana apa jua polisi kerajaan negeri serta perancangan yang dibuat,” katanya.