Penduduk Segari Bersama NGO Gesa Kerajaan Bertindak Isu Gangguan Lalat

Reading Time: 2 minutes

SEGARI | Sekumpulan penduduk Segari dan gabungan NGO Rakan Segari menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera menangani isu gangguan lalat yang semakin serius di sekitar kawasan tersebut.

Hasil tinjauan bersama media pada Sabtu mendapati beberapa batang alor dan parit dicemari air berwarna kehitaman.

Kumpulan itu mengesyaki punca gangguan lalat dan pencemaran air datang dari perusahaan penternakan ayam kerana di situ tidak terdapat aktiviti perusahaan atau industri lain yang boleh dikaitkan.

Isu ini telah lama dibangkitkan penduduk setempat sejak lebih sepuluh tahun yang lalu tetapi sehingga kini masih tiada penyelesaian. Ia semakin serius sejak beberapa bulan yang lalu.

Pencemaran air dan gangguan lalat bukan saja menjejaskan keselesaan penduduk setempat malah turut menjejaskan nelayan pesisiran pantai kerana kawasan muara Sungai Gelam telah dicemari. Gangguan lalat dan pencemaran sungai juga boleh menjejas industri pelancongan di daerah ini.

Menurut seorang nelayan tempatan, Pazaer bin Senawi, 65 atau lebih dikenali sebagai Pak Su, dasar di muara Sungai Gelam telah tercemar dgn pemendapan sisa buangan yang disyaki berpunca daripada kegiatan penternakan ayam yang menyebabkan kawasan perairan persekitaran muara Sungai Gelam sukar untuk dapatkan hasil tangkapan.

Bilangan nelayan pesisiran pantai yang terkesan di jeti tersebut ialah sekitar 30 – 40 orang.

Bagi Zabidi bin Said, 63, beliau berkata kebunnya terletak bersebelahan dengan perusahaan ayam berkenaan. Parit-parit di kebunnya seluas 6 ekar telah dicemari sisa buangan yang disyaki dari penternakan ayam berkenaan.

“Airnya berbau busuk dan bila terkena kulit jadi gatal,” dakwa beliau.

Rakan Segari menggesa pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dan Pihak Berkuasa Negeri khususnya, bersungguh-sungguh menangani isu ini.

“Jangan hanya sekadar mengeluarkan kenyataan akan menyiasat apabila sesuatu isu dibangkitkan tetapi tidak ada tindakan susulan dilakukan,” kata gabungan itu dalam satu kenyataan.