Amirudin Saran Anggota Keadilan Tak Buat Rakyat Resah

Reading Time: < 1 minute

Foto Twitter Amirudin Shari

PETALING JAYA, 8 SEPT: Anggota KEADILAN disaran mengekalkan kestabilan dan keamanan negara serta tidak mewujudkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, hal itu penting bagi memastikan perjalanan parti dan pimpinan menerajui pusat atau negeri dapat menjalankan amanah dengan baik.

“Kita bukan pembangkang yang kerjanya hanya mahu menggugat kita. Ini bukan masa untuk kita tunjukkan kita kuat, berkuasa. Kadang-kadang hilang fokus, kita buat ikut perasaan.

“Tetapi siapa mahu jadi perdana menteri, timbalan presiden saya menyokong penuh.

“Perkara seperti ini boleh dibincangkan dalam mesyuarat, tidak perlu sidang media desak sana sini. Perkara ini akan menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Petaling Jaya Selatan 2019, di Dewan MBPJ, Taman Medan, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri dan Ketua Cabang Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar mahu pucuk pimpinan parti mengenang semula prinsip KEADILAN ketika ia ditubuhkan supaya tidak tersasar dan terbuai oleh kuasa.

Katanya, suara parti perlu jujur selari denyut nadi rakyat yang memberi peluang kemenangan kepada parti berkenaan.

“Kita perlu lihat dan nilai semula apakah prinsip kita. Sudah tentu masalah rakyat, jadi jalankan tanggungjawab kita. Jangan langgar prinsip ambil berjuta-juta atau berbilion ringgit.

“Jika kita ketinggalan sentimen ini, lupa akan perasaan rakyat, kita akan terima nasib dan kesan yang sama seperti UMNO.

“Lihat kembali setahun ini apa yang sudah dilakukan oleh kita, semak. Saya percaya rakyat tidak mahu tahu siapa jadi nombor satu, dua atau tiga.

“Tetapi rakyat mahu tahu apa yang kita buat untuk mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua ahli parti perlu bangkit memperjuangkan nasib rakyat supaya tidak terlewat untuk mempertahankan kemenangan di peringkat negeri mahupun pusat.

~ Selangorkini.my