Jangan Peralat Isu Sensitif Untuk Kepentingan Diri – Agong

Reading Time: 2 minutes

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak memperalatkan isu-isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak.

Titah Seri Paduka setiap rakyat dijanjikan hak serta kebebasan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan tersebut mestilah tidak melangkaui nilai-nilai yang menjadi asas perpaduan negara.

“Begitu juga dalam agenda politik, mesti ada noktah dan batasan yang tidak harus kita langgar. Jika polemik politik dibiarkan berlarutan, lambat-laun rakyat juga yang akan mendapat padahnya.

“Percayalah, perpaduan dan keamanan yang telah terbina selama 62 tahun ini jika hilang, akan sukar untuk dikembalikan. Nasihat Beta, buanglah yang keruh, dan ambillah yang jernih, mana-mana yang tercalar, rawatilah segera agar yang retak akan kembali bertaut,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menyambut baik usaha-usaha kerajaan, dalam menghadapi suasana ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar, serta mengalu-alukan pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan negara, di samping menangani kos sara hidup dan membasmi kemiskinan.

“Dalam hal ini, kerajaan Beta perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

“Beta berharap golongan yang memerlukan seperti rakyat yang miskin, kurang upaya dan kumpulan B-40, hendaklah diberikan perhatian dan bantuan agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa taat setia dalam melaksanakan tugas selain warga Istana Negara yang banyak membantu Seri Paduka dalam menggalas amanah sebagai Ketua Utama Negara.

— BERNAMA