PTEBNP Mahu Perkasa Pembangunan Ekonomi Bumiputera Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Pertubuhan Transformasi Ekonomi Bumiputera Negeri Perak (PTEBNP) beriltizam untuk memperkasakan pembangunan ekonomi Bumiputera yang dilihat perlu diberi nafas baru, lebih sistematik dan lebih tersusun bagi menghadapi arus pembangunan yang lebih mencabar.

Menurut Pengerusinya, Datuk Rosli Yang Danian, untuk itu pertubuhan-pertubuhan ekonomi yang lain seperti persatuan-persatuan penjaja kecil dan apa jua persatuan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi dipelawa untuk bersama berganding bahu dengan PTEBNP untuk melakar gerak yang lebih efaktif bagi membangunkan sektor ekonomi orang Melayu.

“Kita juga mahu mengangkat produk-produk keluaran usahawan Melayu Islam ke tahap yang lebih baik setanding dengan produk-produk yang ada dalam pasaran.

“Ini bertepatan dengan agenda kempen belilah barangan Muslim…Kita tegaskan di sini, kita tidak pernah menganjurkan kempen untuk memboikot barangan keluaran bukan Islam (non muslim).

“Dan apa yang kita lakukan hanyalah kempen menggalakkan membeli barangan orang Muslim.” kata Datuk Rosli kepada pemberita di Mesyuarat Agong Kali Pertama PTEBNP di Dewan Bankuet, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC, Gopeng pada Isnin.

Beliau turut menzahirkan rasa amat kecewa apabila isu-isu yang melibatkan orang Islam diperbesar-besarkan dalam akhbar dan media sosial oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya berharap hentikanlah segera tindakan yang tidak bertanggungjawab ini” katanya.

Menurut Datuk Rosli dengan tertubuhnya PTEBNP ini, ia merupakan satu langkah pertama pihaknya untuk mencadangkan kepada kerajaan negeri Perak bagi membentuk satu agensi yang lebih berkesan dalam membangunkan ekonomi orang Melayu melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Keusahawanan Negeri Perak.

Katanya, dengan adanya perbadanan ini, kerajaan negeri akan dapat menyalurkan sebarang bentuk bantuan dari sudut kewangan dan kepakaran kepada usahawan-usahawan Melayu khususnya generasi muda