Pemenang Olimpik Istimewa ’19 Terima Insentif Kerajaan Negeri

Reading Time: 2 minutes

Tarikh kemaskini: 05/09/2019

IPOH, 5 Sept — Kerajaan Negeri Perak hari ini menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM8,000 kepada lima atlet negeri yang meraih pingat pada Kejohanan Dunia Musim Panas Olimpik Istimewa 2019 di Abu Dhabi, Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata insentif itu diberikan kepada empat atlet wanita dan seorang atlet lelaki yang dikategorikan sebagai ketidakupayaan intelek.

“Insentif diperuntukkan kepada kesemua atlet ini sebagai pembakar semangat dan diharap mereka memperoleh kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri sebelum ini telah menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM5,000 sebagai bantuan penyertaan kepada kesemua atlet sebelum temasya sukan itu berlangsung pada 14 hingga 21 Mac lepas,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan insentif berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Perak yang turut dihadiri Pengarahnya, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali di sini, hari ini.

Pada kejohanan itu, Nur Asmah Mohd Shah memenangi pingat emas menerusi acara bocce sekali gus menerima RM3,000, sementara J. Devakausalya yang meraih perak dalam acara lompat jauh mendapat RM2,000.

Sementara itu, Muhammad Nafizi Nazri dan R. Harshini yang meraih tempat keempat dalam acara bocce menerima RM1,000 setiap seorang, manakala Millie Tan Xue Wen yang memenangi tempat keenam dan kelapan acara olahraga 100 dan 200 meter diberikan insentif RM1,000.

Ketika ditemui pemberita, Nur Asmah, 23, yang kini mengikuti kelas masakan dan jahitan di Sekolah Semangat Maju di sini, melahirkan rasa syukur dan bagaikan tidak percaya dengan kemenangannya itu pada temasya berkenaan yang turut disertai kira-kira 7,500 atlet daripada lebih 190 negara.

Sementara itu, jurulatih, L. Annie berkata, beliau mengambil masa 10 bulan untuk melatih Nur Asmah dan rakan-rakannya dengan memperuntukkan dua jam setiap hari untuk menjalani latihan.

“Walaupun sedikit kesukaran untuk melatih disebabkan ketidakupayaan mereka, saya tidak pernah patah semangat sehingga mereka memperoleh kejayaan cemerlang pada kejohanan di peringkat antarabangsa,” katanya, yang juga pengetua Sekolah Semangat Maju iaitu sekolah pendidikan khas.

— BERNAMA