Apple Perkenal 3 Model Terbaru iPhone

Reading Time: 2 minutes

CALIFORNIA – Apple Inc. hari ini melancarkan 3 produk telefon pintar iPhone iaitu iPhone 11 dan iPhone 11 Pro serta  Pro Max dalam satu majlis pengenalan di Steve Jobs Theatre, Cupertino, California pagi ini waktu tempatan.

Turut dilancarkan ialah model terbaru iPad dan jam tangan pintar Apple Watch Series 5.

Seperti dijangka, semua produk terbaru ini dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi terkini yang ditambahbaik dari model terdahulu.

iPhone 11 dilengkapi sistem dual-kamera manakala iPhone 11 Pro dilengkapi 3 lensa kamera, satu untuk telefoto, satu sudut lebar (wide angle) dan terakhir super lebar (super wide). Kedua-dua model terbaru ini dilihat banyak diberi penambahbaikan pada sistem kameranya.

Antara ciri-ciri terbaru pada kedua-dua model iPhone 11 dan 11 Pro ialah kamera selfie yang boleh digerak perlahan (slow-mo) dan lensa sudut lebar 13mm (130 darjah lebar) dengan aperture f/2.4 membolehkan kesan bokeh pada foto yang diambil dari kameranya.

Ia turut dilengkapi mode malam automatik dimana pengguna boleh menetapkan foto mode malam atau situasi cahaya rendah secara automatik.

Dilengkapi cip pemproses A13 Bionic, kedua-dua model turut dilengkapi ciri-ciri rakaman video dengan kualiti 4K 60fps.

Apple mendakwa model terbaru ini mempunyai bekalan kuasa bateri 5 jam lebih lama berbanding model terdahulu.

Apple juga dengan bangganya mendakwa sistem kamera pada iPhone keluarannya adalah yang terbaik di kalangan model telefon pintar yang ada di pasaran.

iPhone 11 boleh didapati dalam saiz skrin 6.1 inci manakala model 11 Pro didapati dalam 2 saiz iaitu 5.8 inci dan 6.5 inci untuk model yang yang dinamakana 11 Pro Max.

Apa yang menarik, model iPhone 11 boleh didapati dengan harga serendah $699 (RM3,000), iPhone 11 Pro dengan harga $999 dan 11 Pro Max $1,099.