Tanah Orang Asli Perak Dalam Proses Rizab

Reading Time: < 1 minute

TAPAH, 11 Sept — Kerajaan negeri sedang dalam proses untuk merizabkan tanah Orang Asli hampir 6,000 hektar untuk kawasan rayau dan penempatan kaum minoriti itu di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ketika ini kerajaan negeri telah meluluskan rizab tanah hampir 14,000 hektar untuk kawasan rayau dan 70 penempatan Orang Asli di seluruh negeri di bawah Akta Orang Asli 1954.

Beliau berkata kebanyakan rizab tanah kawasan rayau dan penempatan Orang Asli itu terletak dalam kawasan hutan simpan dan turut melibatkan tanaman yang diusahakan.

“Ini akan meletakkan Perak sebagai negeri yang merizabkan tanah Orang Asli paling luas dalam kalangan semua negeri khususnya untuk dijadikan kawasan rayau dan penempatan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Orang Asal 2019 bertemakan ‘Memperkasakan Bahasa dan Budaya Orang Asli’ di sini malam ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada program jangka panjang untuk mendaya upayakan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri tampil dengan inisiatif lebih besar iaitu Program Kampung Angkat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri dengan terdapat kira-kira 20 penempatan Orang Asli telah menjadi kampung angkat GLC.

“Di bawah program kampung angkat ini, syarikat-syarikat ini menjalankan pelbagai program sepanjang tahun untuk meningkatkan taraf pendidikan, sosial dan ekonomi masyarakat Orang Asli di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA