Armada Bersatu Perak Beri Amaran Kepada Dong Zong Supaya Jauhi Rasis

Reading Time: 2 minutes

Pendidikan merupakan tonggak utama dalam pembangunan sesebuah negara. Kegagalan dalam sistem pendidikan mampu menghancurkan negara. Pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan mahupun digaul dengan sifat-sifat perkauman atau elemen agama.

Pendidikan harus berada di tengah, memastikan kebenaran atau fakta menjadi sumber rujukan setiap rakyat. Agenda pendidikan negara perlu berteraskan kepada acuan negara itu sendiri kerana jati diri negara itu penting dalam membentuk rakyat yang cinta kepada negara.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Armada Bersatu Negeri Perak melalui ketuanya Mohd Hafez Mubin bin Mohd Salleh hari ini.

Ekoran isu pembelajaran tulisan Jawi dan Khat di sekolah yang hangat diperkatakan, ramai yang bersetuju kerana Jawi ini merupakan warisan negara. Menurut kenyataan itu lagi, penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu dahulu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi.

“Koleksi warkah Francis Light Muzium Perpustakaan British, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, semua ini dalam tulisan jawi,” kenyataan itu dipetik.

“Namun, ada beberapa pihak terutamanya Dong Zong yang tidak bersetuju dan menghasut rakyat untuk menolak pembelajaran tulisan Jawi dan Khat ini. Alasannya, ini adalah salah satu agenda Islamisasi.

“Saya tidak akan menjadi lebih Islam dengan mempelajari jawi. Saya tidak akan menjadi Buddha atau Kristian dengan mempelajari tulisan Cina. Apek Lau tidak akan menjadi Islam dengan hanya mempelajari Jawi. Mengapa? Kerana itu adalah seni tulisan bukan dakyah agama, menurut kenyataan yang keras dan tegas dari Armada itu.

Armada berpendapat Dong Zong memainkan sentimen rasis sepertimana yang disuarakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semalam.

Katanya, segala agenda pendidikan negara ditolak oleh mereka sebelum ini. Mereka punca kepada perpecahan kaum di Malaysia terutamanya dalam isu pendidikan. Pendidikan seharusnya menyatukan, bukan memecah-belahkan.

Armada juga melihat Lim Kit Siang mempertahankan Dong Zong dalam hal ini.

“Saya nak tanya Kit Siang, apakah Kit Siang bersekongkol dengan Dong Zong dalam isu ini?

“Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, menolak sekeras-kerasnya Dong Zong ini. Budaya rasis ini tidak akan bawa kita ke hadapan, tapi akan terus menerus menarik kita kebelakang,” kata Mubin.

Beliau memberi peringatan jika Dong Zong hendak bawa agenda mereka sendiri, mereka perlu berhadapan dengan rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan pendirian Tun Dr Mahathir