Armada Perak Agih Daging Korban Kepada Keluarga Orang Asli

Reading Time: < 1 minute

CHEMOR | Armada Bersatu Perak menyantuni masyarakat kampung termasuk masyarakat Orang Asli Kampung Ulu Kuang pada majlis Korban sempena sambutan Aidiladha di kampung berkenaan hari ini.

Menurut Ketuanya Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, Armada Perak membuat kelainan pada sambutan Aidiladha tahun ini apabila mengagihkan daging korban kepada golongan asnaf dan 75 keluarga masyarakat Pos Pelantuk dan 31 keluarga Orang Asli Kampung Badok.

“Hari ini Armada Perak mengorbankan lima ekor lembu untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan juga 75 keluarga masyarakat Orang Asli Pos Pelantuk 35 keluarga masyarakat orang Asli Kampung Badok dalam usaha mendekati mereka untuk menyertai majlis korban,” katanya kepada Independent.my di Kampung Ulu Kuang pada Ahad.

Beliau berkata, seramai 150 ahli Armada seluruh Perak yang terdiri daripada golongan muda menyertai program pada hari ini.

“Kita mengalakkan mereka menyertai program sebegini dengan menerapkan kepada ahli-ahli muda tentang amalan korban … belajar memegang pisau menyembelih dan melapah daging lembu agar mereka mempunyai kemahiran berhubung amalan korban,” kata Mohd Hafez Mubin.

Menurut beliau, program majlis korban pada hari ini turut disusuli dengan kenduri kampung dengan menjemput seluruh masyarakat Kampung Ulu Kuang dan sekitarnya untuk menikmati hidangan makan tengah hari.