Badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia mati

Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 23 Nov — Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia, mati pada 5.35 petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata menurut Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) kematiannya berlaku lebih awal dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Iman diberi penjagaan dan perhatian terbaik sejak ia ditangkap pada Mac 2014 sehinggalah saat kematiannya.

“Iman sebenarnya hampir mati apabila beberapa kali kehilangan banyak darah akibat ketumbuhan atau tumor pada uterusnya, beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

“Pasukan di Tabin memberikan sokongan intensif sepanjang masa dan berjaya memulihkan tahap kesihatannya serta menghasilkan sel telur beberapa kali,” katanya.

Negeri ini berharap ia masih dapat memanfaatkan beberapa sel telur daripada Iman bagi cadangan kerjasama Malaysia-Indonesia mengenai spesies itu.

Bagaimanapun, menteri itu berkata masih ada cara bagi kedua-dua negara menjalin kerjasama berdasarkan pengalaman mereka yang berbeza sepanjang dekad yang lalu.

Bagi Sabah ia termasuk pengurusan badak sumbu Sumatera betina dengan patologi reproduktif, pembiakan selamat daripada badak Sumatera yang masih hidup dan dalam bentuk kultur sel. Kedua-dua Iman dan Tam akan terus hidup sebagai kultur sel di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Pengarah SWD Augustine Tuuga berkata kematian Iman berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan oleh jabatan itu, tetapi mereka tahu badak sumbu Sumatera itu mula mengalami kesakitan yang ketara akibat tekanan yang semakin bertambah pada tumor di pundi kencingnya.

— BERNAMA