Kenalpasti dewan, kuarters tidak diguna dijadikan bengkel OKU

Reading Time: 2 minutes

TAIPING, 23 Nov — Semua agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri diminta mengenal pasti dewan orang ramai serta kuarters yang tidak diguna bagi membolehkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dilatih di situ untuk meningkatkan kemahiran bekerja dan hidup mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata perkara itu juga boleh mengurangkan beban pemilik mana-mana bengkel yang terpaksa menyewa bangunan bagi menempatkan golongan itu bekerja.

“Langkah itu akan membolehkan lebih ramai golongan OKU ditempatkan di situ (bangunan tidak digunakan) berbanding menyewa bangunan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Bengkel Perlindungan Semangat Maju Taiping di Aulong dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, golongan OKU juga adalah aset negara dan mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa termasuk kemahiran dan bersosial.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menulis surat kepada kementeriannya berhubung penghentian bantuan geran yang diberikan kepada bengkel Perlindungan Semangat Maju.

“Pengerusi bengkel itu, Chai Ah Liok dalam ucapannya merayu supaya dipulangkan semula bantuan geran yang diberikan kerana dia terpaksa membayar sewa bangunan RM1,500 sebulan dan gaji guru,” katanya.

Sementara itu, Hannah ketika berucap berkata golongan OKU mempunyai kemampuan intelektual untuk bekerja serta memiliki kemahiran dalam bidang tertentu.

“Ia berdasarkan maklum balas yang positif daripada majikan seperti syarikat pusat membeli-belah AEON dan Mydin yang menyatakan pekerja OKU lebih fokus dalam menjalankan tugas dan kekal bekerja lebih lama di sesebuah organisasi,” katanya.

Seramai 263 OKU terlibat  dalam program Job Coach yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya sehingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 178 OKU atau 68 peratus daripadanya adalah OKU Masalah Pembelajaran. Sebanyak 165 buah syarikat dari seluruh negara telah terlibat,” katanya.

Selain itu, Hannah berkata Perak adalah negeri ketiga tertinggi yang mempunyai pendaftaran OKU Masalah Pembelajaran iaitu 15,748 orang selepas Selangor (29,063) dan Johor 21,474 orang.

Beliau berkata kementeriannya akan menubuhkan lima lagi Pusat Latihan Berdikari (ILC) di negara ini untuk membantu golongan OKU berdikari dan pada tahun ini, dua buah ILC telah ditubuhkan dengan peruntukan RM900,000 bagi kedua-duanya.

— BERNAMA