Banjir Merebak Ke Kerian

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

JUMLAH mangsa banjir di Perak meningkat kepada seramai 182 orang daripada 47 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, setakat 9 malam ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata, jumlah mangsa menunjukkan peningkatan 28 orang daripada enam keluarga berbanding 154 mangsa daripada 41 keluarga yang dilaporkan pagi hari ini.

“Satu PPS dibuka di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Matang Tengah di daerah Kerian yang menempatkan 22 mangsa daripada empat keluarga.

“Sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah sama di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak yang menempatkan 14 mangsa daripada lima keluarga,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, malam ini.

Zairil Anuar berkata, daerah Kerian menjadi daerah terbaru dilanda banjir selepas hujan lebat sejak petang mengakibatkan paras air Sungai Kerian meningkat dan melimpah ke perkampungan penduduk.

Beliau berkata, bilangan mangsa banjir di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di daerah Hilir Perak pula menurun kepada 60 mangsa daripada 14 keluarga berbanding 68 orang daripada 17 keluarga pagi tadi.

Katanya, bagi daerah Taiping, mangsa ditempatkan di SK Temerlok Trong kekal tidak berubah iaitu 38 mangsa daripada 12 keluarga.

“Bagi daerah Manjung, mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai kekal tidak berubah iaitu 48 mangsa daripada 12 keluarga.

“Manakala PPS di SK Batu Hampar pula ditutup pada 10.30 pagi tadi,” katanya.

Sumber – Malaysian Response Team II