Bekas CEO 1MDB Dakwa Pegawai Cuba Lindungi Najib

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR (Bernama) | Semasa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) heboh diperkatakan pada 2015, ramai orang termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi tumpuan mengenai idea untuk melindungi Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata selain Jho Low, pegawai PMO yang turut memberi idea melindungi bekas perdana menteri itu ialah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Datuk Amhari Efendi Nazarudin.

Ahmad Farid bertanggungjawab terhadap imej Najib pada masa itu manakala Amhari merupakan pegawai khas Najib.

Perkara ini dinyatakan saksi pendakwaan kesembilan itu semasa pemeriksaan semula oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shahrol Azral berkata pegawai Kementerian Kewangan (MOF) juga diingatkan dengan idea “perlu melindungi PM”.

“Kebanyakan mereka yang pernah saya berinteraksi, termasuk Datuk Seri Hasan Arifin yang merupakan pengerusi PAC pada masa itu, memberi tumpuan kepada idea untuk melindungi perdana menteri (ketika itu),” katanya.

Semasa disoal lebih lanjut oleh Sri Ram sama ada beliau mengenali perunding perhubungan awam (PR) Najib, Paul Stadlen, saksi itu berkata “ya”.

“Dia diperkenalkan kepada saya oleh Jho Low. Dia adalah pegawai PR bos (merujuk kepada Najib). Dia menguruskan PR dan persepsi awam. Saya berjumpa dengannya di Putrajaya Marriott Hotel. Paul juga tegas ketika saya mengadakan perbincangan singkat dengannya mengenai melindungi PM,” kata Shahrol Azral.

Menjawab soalan lain oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu mengenai perkara apa yang mereka lindungi Najib, Shahrol Azral  berkata ia adalah mengenai reputasi yang terjejas kerana akhbar Wall Street Journal, menyiarkan berita berhubung isu 1MDB.

Dilaporkan sebelum ini bahawa sebelum pendengaran PAC pada 2015, satu pertemuan berlangsung dengan objektif untuk melindungi PM diadakan di rumah Farid di Sri Hartamas dan antara yang hadir adalah anggota BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Sri Ram: Adakah keterangan anda kepada PAC dipengaruhi oleh idea ini untuk melindungi PM?

Shahrol Azral: Sudah tentu. Apa sahaja mengenai nama Jho Low (dalam laporan) telah dikeluarkan dan tanggungjawab untuk semua keputusan diletakkan di bahu saya.

Sri Ram: Jadi anda akan dipersalahkan?

Shahrol Azral: Ya.

“Seperti kata orang Melayu ‘kambing hitam’, “ katanya.

Shahrol Azral berkata beliau tidak mendapat faedah daripada wang yang didakwa diambil daripada dana negara itu.

Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan dokumen yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah dan semasa siasatan, Najib, adalah antara yang mendapat faedah bersama Jho Low, pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang, peguam 1MDB Jasmine Loo, pengasas bersama PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid dan rakan-rakan Jho Low yang lain.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Shahrol Azral boleh didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah (CBT) semasa menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Namun Shahrol Azral, tidak bersetuju.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.