Beza Antara Malaysia Baharu dan Lama

Reading Time: < 1 minute

Foto oleh Malay Mail

ULASAN | Kalau dahulu, kawasan sekitar Masjid Jamek, Sogo, Kompleks Pertama sangat sinonim dengan gerakan reformasi dan gerakan parti pembangkang ketika itu, hari ini kita melihat situasi itu sudah terbalik.

Kini parti pembangkang dipelopori oleh UMNO dengan kerjasama dari parti PAS yang terus rela menjadi pembangkang selama-lamanya disertai NGO beberapa lain pula menggunakan kawasan sekitar Sogo dan Masjid Jamek untuk menyatakan bantahan terhadap kerajaan yang dikuasai Pakatan Harapan.

Bermula dari perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) tahun lalu, hari ini golongan ini cuba mengambil kredit dari pertikaian antara pihak kerajaan dengan istana Johor.

Begitulah kuasa Allah. Tiada siapa sangka parti yang memerintah selama 61 tahun berjaya ditumbangkan dan hari ini giliran mereka pula merasai apa yang dilalui oleh pembangkang semasa mereka memerintah.

Cuma berbeza dari perhimpunan² yang dianjurkan oleh pembangkang ketika era Mahazalim, Pak Lah dan Najib, hari ini pentadbiran Malaysia Baharu diketuai Tun Mahathir (melalui KDN diketuai oleh TS Muhyiddin Yasin) dengan mudah memberi laluan dan permit untuk mereka berhimpun menyatakan bantahan tanpa gangguan dari pihak berkuasa. Apatah lagi tidak berlaku sebarang ancaman atau tindakan kekerasan dari pihak berkuasa.

Itulah bezanya cara mereka yang takut kepada gerakan rakyat sendiri menangani gerakan massa dengan mereka yang yakin berada di pihak yang benar tidak ada apa² yang hendak ditakuti. ~ Kulup Lembang


Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent