Dewan Negeri Bukan `Pentas’ Sesuai Bangkit Isu PCB – Datuk Saarani

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan `pentas’ sesuai untuk membangkitkan isu berkaitan urusan perniagaan Perak Corporation Berhad (PCB).

Sebaliknya Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saraani Mohamed berkata, perkara itu sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat ahli lembaga syarikat berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak seterusnya mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin yang berulang kali menyerang dan mengaitkan Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam isu dakwaan salah laku pengurusan kewangan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

“MAPS dibangunkan Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) yang mana ia dikongsi bersama-sama dua entiti iaitu salah satunya PCB Development Sdn Bhd (PCBD), yang mewakili PCB.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memang mempunyai saham 53 peratus dalam PCB namun ia hanya terhad berfungsi sebagai pemegang saham.

“Ia tidak boleh terlibat secara langsung dalam urusan perniagaan PCB kerana PCB ialah syarikat tersenarai awam yang mana PCB memunyai pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang tersendiri … Ia juga terikat dengan peraturan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya. Kepada pemberita di bilik media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut beliau, walaupun sebagai Bekas Pengerusi PKNP namun Zambry tetap tidak mempunyai upaya untuk mencampuri sebarang urusan perancangan perniagaan PCB.

“Sebagai pemegang saham, PKNP tidak boleh bersuara dalam keputusan perniagaan PCB. Mereka hanya boleh bersuara dalam mesyuarat agung tahunan.

“Keputusan PCB mengadakan projek MAPS, menambah saham dan sebagainya itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat agung tahunan. Ia dibincangkan dalam lembaga pengarah PCB,” katanya.

Menurut Saarani, sekiranya Zhemin meneruskan tindakannya membincangkan secara terbuka perkara berkenaan ia dikhuatiri akan menggoyahkan keyakinan para pelabur terhadap syarikat.

“Ia juga berkemungkinan bakal memberi kesan kepada saham PKNP dalam PCB,’’ katanya yang juga Adun Kota Tampan.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Zhemin mengesahkan bahawa beliau telah menghantar notis usul kepada Speaker DUN pada 14 April lalu.

Katanya, ia berkaitan usul bagi laporan audit dalaman khas MAPS yang dijangka dibahaskan dalam persidangan DUN Perak pada Selasa depan.