Jumlah Pelaburan Meningkat Selepas PH Tadbir Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Jumlah pelaburan di Perak khususnya dalam sektor pembuatan serta pelaburan menunjukkan peningkatan bagi tempoh Julai hingga Disember 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, jumlah berkenaan dilihat menunjukkan perbezaan ketara bagi separuh bulan pertama 2018 (Januari sehingga Jun) berbanding bagi tempoh Julai hingga Disember 2018.

Katanya, jumlah keseluruhan pelaburan bagi sektor pembuatan yang telah diluluskan di Perak berdasarkan Industrial Coordination Acts 1975 (ICA) untuk keseluruhan tahun 2018 adalah RM1.886 bilion.

Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak RM384 juta.

“Secara perbandingan, jumlah pelaburan bagi sektor pembuatan yang dicatatkan pada separuh bulan pertama tahun 2018 (iaitu bagi tempoh Januari sehingga Jun) ketika di bawah pentadbiran terdahulu adalah sebanyak RM371 juta manakala jumlah pelaburan bagi separuh bulan terakhir tahun 2018 (iaitu bagi tempoh Julai sehingga Disember) di bawah pentadbiran kerajaan yang baharu adalah sebanyak RM1.515 bilion,” katanya.

Mohammad Nizar berkata demikian ketika menjawab soalan Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol), Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota) pada Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut Nizar berdasarkan taburan lokasi pelaburan, daerah Larut Matang dan Selama (LMS) mencatatkan kemasukan pelaburan yang paling tinggi iaitu sebanyak RM937.4 juta, diikuti daerah Kinta sebanyak RM428.6 juta dan daerah Manjung sebanyak RM253.6 juta.

Nizar yang juga Adun Sungai Rapat berkata, berdasarkan fakta berkenaan membuktikan keyakinan penuh pelabur asing kepada kerajaan sedia ada.

Malah beliau optimis trend kemasukan pelaburan asing ke negara ini akan bertambah dan seterusnya akan membantu peningkatan pelaburan sama ada di peringkat domestik mahupun pelaburan asing.

“Impak pelaburan asing ini kita dah rasa … Kita nikmati dengan peluang-peluang pekerjaan.

“Tidak kurang enam syarikat pelaburan asing sudahpun beroperasi di negeri kita.’’ Katanya.