Perak Perkenal Inisiatif Baru Bantu Tangani Kos Sara Hidup Rakyat- `Peja’

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan komitmen jitu kerajaan untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Katanya, meskipun kerajaan sedang berdepan kekangan kewangan, namun tetap memberi keutamaan kepada usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan pembelaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus  memberi penekanan bagi memastikan segala usaha itu memberi impak kepada golongan sasar tanpa mengira batasan kaum dan agama.

“Antara program tersebut ialah Kad Perak Prihatin dengan memperuntukkan sebanyak RM22 juta yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penerima.

“Setiap pemegang Kad Prihatin akan menerima bantuan sebanyak RM80 setiap bulan untuk membeli keperluan asas dan bantuan mendapat rawatan kesihatan di 400 klinik swasta yang berdaftar sehingga RM300 setahun,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) mengenai langkah yang telah diambil untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.